jump to navigation

Di mana pelakon-pelakon konspirasi LIWAT 1998? 4 September, 2008

Posted by ahmadmum in Anwar Ibrahim.
Tags: , ,
1 comment so far

Dr. Munawar Anees. Beliau adalah penulis ucapan Anwar satu ketika dahulu. Beliau adalah warga Pakistan dan menetap di Amerika. Isterinya seorang warga Algeria yang mendapat kerakyatan Peranchis. Anees telah ditangkap dan dituduh oleh polis membiarkan dirinya diliwat oleh DSAI.

Dr. Anees berusia 51 tahun ketika itu. Untuk megadakan bukti, dubur Anees telah dijolok dan digerudi dengan belantan polis sebagai bukti dia telah diliwat. Hasilnya dia mengalami trauma dan hampir maut di hospital. Tekanan dunia luar membolehkan Anees dibebaskan untuk mendapat rawatan di Amerika.

Apabila beliau dibebaskan Dr. Anees telah menjelajah bandaraya besar merata dunia dan menulis di makalah tersohor dunia mengenai kes liwat yang telah dituduh ke atasnya. Pertubuhan Islam sedunia di merata tempat telah menyiarkan tulisan Anees yang mengatakan betapa TKT Mahathir telah menggunakan seluruh institusi kerajaan untuk mengaib, menyiksa dan memenjarakan Anwar Ibrahim.

Kesan usaha Anees yang gigih itu menjadikan dunia sedar betapa azabnya yang telah ditimpa ke atas DSAI. Yang lebih penting lagi, dunia terkejut beruk mengetahui di sebalik retorik dan cakap celupar terhadap barat, dia sebenarnya adalah seorang diktator di negara sendiri. Hingga ke hari ini Anwar menerima pelbagai tawaran daripada ketua negara luar, sedangkan Mahathir dicemuh dan dibiarkan hidup merempat di negara sendiri laksana seekor anjing kurap sahaja.

Kini Mahathir menanti penuh debar hasil Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh. Dia tidak mahu DSAI menang kerana dia tahu kalau DSAI menang, kemungkinan besar kerajaan pusat akan bertukar tangan, dan masa depan TKT Mahathir akan tergugat. Saya fikir perkara pertama yang harus dilakukan DSAI apabila memegang kuasa kerajaan pusat ialah menutup Yayasan Perdana yang kini menjadi sarang propaganda Mahathir di mana semua pegawainya adalah bekas pembodek beliau dalam kerajaan dahulu dan kini menerima gaji lumayan yang berlipat kali ganda. Saya sudah lama mencadangkan ditutup sahaja Yayasan Perdana itu. Kalau Mahathir mahu menulis biarlah dia menulis di rumah kediamannya dan kalau dia mahukan pembantu bolehlah diberikan sedikit gratuiti kepada mereka.

tengku Adnan Mansur. Dia ini kini masih menjadi Anggota Parlimen. Satu ketika dahulu dia adalah Setiausaha Kerja UMNO semasa kerja-kerja menyelitkan buku dalil itu dilaksanakan. Pangkat diraja yang digunakannya itu adalah melalui proses mahkamah setelah dia meyakinkan mahkamah bahawa dia dan ayahnya adalah berketurunan Sultan Melaka. Mujur juga TKT Mahathir sudah hilang kuasa. Mana tahu kalau masih berkuasa dia tabalkan Adnan menjadi Sultan Melaka? Kalau Mahathir masih berkuasa mungkin juga seorang anak mamak yang ada Shah pada namanya dan menjadi seorang Naib Canselor sebuah universiti membuat pengakuan mahkamah yang dia juga berketurunan raja Melaka. Tetapi kalau dilihat pada peranannya memesongkan pelajar Melayu di universiti beliau itu, saya fikir dia ini adalah berketurunan Bendahara Mandaliar Melaka.

Sabaruddin Chik. Dia menjadi Setiausaha Agung UMNO yang paling lemah kuasanya. Kerana itu Adnan Mansor boleh menunjukkan kukunya. Kini Sabaruddin Chik disebut-sebut selalu berehat di sebelah mesin dialisis di rumahnya.

Azizan Abu Bakar. Bekas pemandu DSW Azizah, isteri kepada DSAI. Beliau kononnya telah diliwat oleh DSAI di Tivoli Villa semasa apartment itu belum siap lagi. Yang anehnya doktor yang memeriksa dubur Azizan tidak dapat sebarang kesan dubur itu telah dijolok oleh benda keras. Malahan Azizan sendiri sebanyak tiga kali mengaku dia tidak pernah diliwat oleh DSAI.

Hasil kes ini Azizan diberikan jawatan pengarah syarikat dengan kereta mewah sekali. Yang bagusnya dengan Azizan, dia sanggup diheret ke mahkamah dan setiap hari melihat polis mengusung satu tilam tebal yang kononnya digunakan oleh DSAI semasa meliwatnya. Tup-tup dia telah disoal oleh Ketua Peguambela Almarhum Rizal Fernando apakah dia pernah diliwat oleh DSAI? Dia jawab tidak pernah. Soalan itu dikemukakan sebanyak tiga kali dan sebanyak itu juga dia menjawab tidak pernah.

Sepatutnya jawapan Azizan itu sudah cukup bukti untuk mahkamah menutup bicara dan mengisytiharkan kes itu sebagai “No Case”. Selain jawapan Azizan yang menafikan dirinya diliwat, terlalu banyak lagi bahan-bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dapat disanggah dan diperlekeh oleh pihak peguambela.

Augustine Paul. Hakim yang mendengar bicara itu tidak mahu menolak pendakwaan tersebut. Malahan dia tetap dengan kata-kata “Not relevan” setiap kali pihak peguambela mengemukakan hujah. Di manakah Augustine Paul sekarang?
Dia yang dikenali sebagai Hakim Hacks khabarnya telah menerima arahan untuk mengadili kes DSAI dan menjatuhkan hukuman sebagai balasan ucap terima kasih kepada kerajaan (polis) yang membebaskan anaknya daripada hukuman tali gantung kerana terlibat dengan pengedaran dadah.

Anak itu dibenarkan ke luar negara dan menetap di sana. Kerana itu setiap kali tercetus masalah dalam mahkamah, Hakim Hacks menangguhkan perbicaraan untuk membuat rujukan kepada Perancang Agung Konspirasi itu yang bernama Dr. Mahathir. (Itu sebab saya berikan gelaran TKT pada beliau semasa dia memaksa kerajaan penganugerahan gelaran Tun pada diri dan isterinya. Dia tahu kalau dia sudah tidak berkuasa gelaran itu mungkin terlepas daripada genggamannya)
Rafidah Aziz. Dia ini adalah Ketua Wanita UMNO. Dia mungkin tidak terlibat secara langsung dengan usaha menjatuhkan DSAI. Tetapi sebagai Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa satu ketika dahulu, Rafidah banyak menghabiskan masa di luar negara daripada di negara sendiri. Sebagai Ketua Wanita UMNO dia mempunyai pilihan menenangkan pengikutnya agar tidak membuat andaian apabila DSAI ditangkap, dibalun di Bukit Aman sedangkan tangannya digari di bahagian belakang. Dia tahu berita bagaimana Anwar telah ditangkap oleh sepasukan polis gerak khas dan dibawa lari ke Bukit Aman. Di sana Anwar telah dilanyak hingga lumat oleh Rahim Noor sehingga lebam matanya dan dibiarkan berbogel di atas bangku simen sehingga keesokan paginya.

Keadaan DSAI adalah laksana nyawa-nyawa ikan sahaja apabila seorang doktor berbangsa India (Dr. Vasantha) diarahkan melihat keadaan beliau. Perbuatan ke atas DSAI ternyata dibuat oleh manusia berhati binatang, kata doktor itu dan dia tetap dengan pendirian itu di mahkamah walaupun ada beberapa pujukan agar dia memberi kenyataan yang menyenangkan pihak kerajaan.

Sebagai Ketua Wanita UMNO dan Menteri kabinet yang sentiasa berlegar di luar negara Rafidah punya peluang memberitahu dunia biarlah jangan dikomen kisah DSAI dengan mata lebamnya. Tetapi apakah jawapan beliau apabila ditanya soalan yang sama dahulu? Dia jawab DSAI mungkin melakukan lebam itu secara sengaja dan berkemungkinan membengkamnya dengan gelas. Dia cuba menjadi bijak setakuk lagi daripada ketuanya Mahathir yang berkata mata lebam DSAI “adalah bikinan sendiri dengan menghantuk kepalanya di dinding.

Kalau kita dengar kenyataan Dr. Vasantha di mahkamah memang jelas bahawa tujuan sebenar melanyak DSAI sebegitu kejam adalah semacam satu tindakan melepaskan geram kerana DSAI tidak mati terbunuh semasa beliau diserang di rumah kediamannya di Setiabudi oleh sepasukan gerak khas dan penembak tepat.

Mengikut siasatan peribadi selama ini saya dapat kumpulkan fakta bahawa pada malam DSAI ditangkap kerana tuduhan liwat itu, beliau sepatutnya menemui ajal. Ada anggota tertentu pasukan gerak khas itu yang diberi arahan apabila berlaku kekecohan dan huru-hara dan lampu dipadam dia mesti melepaskan tembakan ke arah DSAI agar beliau terbunuh. (Kerana itu setiap anggota gerak gempur itu telah dilengkapi dengan ‘night vision goggles’).

Mujur Anwar sudah bersedia menerima kedatangan mereka walaupun mereka masuk melalui pintu secara paksa. Keadaan tenang dan membolehkan Anwar naik menukar baju untuk di bawa keluar oleh dua orang inspektor polis bernama X Bin Mohd Nasir dan Inspektor Shukri. Inspektor X bin Mohd Nasir berasal daripada Melaka dan ayahnya Pesara Polis Singapura; Staf Sarjan Mohd Nasir Kuwantung. Dia pernah dibuang daerah (ke Port Dickson) oleh Lee Kuan Yew kerana difitnah mengumpul senjata di Masjid Sultan Singapura untuk menggulingkan kerajaan Lee Kuan Yew.

Kini Inspektor X Mohd Nasir bertugas sebagai pengawal khas kepada YDPAgong. Anwar kenal pegawai ini dan dia pernah menjadi pengawal peribadi beliau. Kalaulah tidak waras akalnya, Anwar sudah lama menjadi arwah.

Malahan kalau kita ingatkan balik kisah mata lebam itu, pada tahap awalannya Rahim Noor berkata Anwar berada dalam keadaan selamat. Hanya apabila Anwar dikemukakan di mahkamah barulah kita tahu bahawa dia telah dibaham oleh Rahim Noor. Itupun setelah ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Khas Siasatan DiRaja bagi menyiasat kejadian. Barulah kita tahu kalau tidak kerana SAC Ramly Yusof, Rahim Noor sudah melanyak Anwar sehingga mati.

Kini SAC Ramly berada dalam tahanan gara-gara tuduhan rasuah, sedangkan beliau satu ketika dahulu adalah Ketua kepada Musa Hassan dan sepatutnya menjadi pegawai yang menggantikan tempat Rahim Noor. Demikianlah busuknya kerja-kerja TKT Mahathir yang semakin terdedah ke hari ini.

Kisah mata lebam Anwar yang disusuli dengan dakwaan dia melakukan kerja meliwat ke atas beberapa orang yang rapat dengannya, adalah kemuncak kepada pelbagai usaha musuh Anwar mahu membunuhnya. Mengikut catatan, terdapat lebih enam kali usaha membunuh beliau.

Ini melibatkan (antara lainnya) sebuah helikopter tentera yang meletup di udara dalam perjalanan mengambil beliau. Sebuah lagi helikopter milik Pengerusi HICOM, telah meletup di udara pada malam hari ketika Tan Sri Yahya Ahmad dan isteri beliau terbang pulang ke Terengganu untuk menziarahi ibunya yang baru meninggal. Pesawat itu sepatutnya akan digunakan oleh beliau bersama Anwar pada keesokan harinya. Jelas, bom jangka sudah terpasang siap menunggukan pesawat itu terbang dan meledak di angkasa. Sayangnya ia mengorbankan orang lain. Yang peliknya dalam episod ini Dr. Siti Hasmah yang menjadi isteri Perdana Menteri ketika itu tidak pernah mahu diri dan suaminya diterbangkan dengan helikopter walaupun kerajaan menyediakan sebuah helikopter khas untuk kegunaan mereka.

Bekas Ketua Polis Negara A Rahim Noor. Dia merupakan orang kuat Mahathir satu ketika dahulu. Dia amat setia kepada Mahathir sehinggakan ada kalanya lagaknya itu adalah lebih hebat daripada tuannya. Dialah yang melumpuhkan Pertubuhan Al-Arqam, sebuah pertubuhan Islam yang dikatakan terpesong sedikit akidahnya. Tetapi apakah bezanya kepesongan akidah Al-Arqam dengan Islam Hadhari? Semasa disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja terhadap perbuatan aibnya terhadap Anwar, Rahim berkata bahawa dia memukul Anwar sebab Anwar memanggilnya anjing. Anwar menafikan dia pernah berkata demikian. Malahan SAC Ramli pernah berkata kepada kawan-kawannya bahawa Anwar tidak berkata apa-apa.

Saya pernah mengenali Rahim Noor secara peribadi satu ketika dahulu dan kalau ditanya anggota polis bawahan mereka memang menyayangi Rahim Noor. Dia prihatin dengan penderitaan anggota polis bawahannya.

Tetapi dia banyak berdosa dengan orang Melayu dan Islam. Perbuatannya mengharamkan Al-Arqam bukan sahaja menumpulkan pengaruh Abuya Azahari tetapi sekali gus melumpuhkan seluruh rangkaian pasaran dan eceren Melayu dan Islam.

Rahim Noor menjadi mangsa mainan segelintir ulama di sekeliling Mahathir kerana ulama ini berlumba-lumba antara satu dengan lain menonjolkan bahawa merekalah jaguh Islam.

Kini Rahim Nor sudah berubah. Dia lumpuh di sebelah tangannya. Itulah tangan yang membaham Anwar Ibrahim. Dia kerap memberitahu pegawai polis yang muda-muda apa yang ditanggungnya adalah kerana mencampur-adukkan tugasnya dengan politik. Sehebat Rahim Nor dia tidak mampu menumpaskan pujuk rayu dan ugutan TKT Mahathir.

TKT Mahathir. Inilah bapak segala Konspirator di Malaysia di zaman dia mencengkam kuasa. Sesiapa pun tidak berani melanggar cakap dia. Mereka yang berani berbuat demikian telah menghadapi kesukaran dalam hidup. Contohnya, Tun Salleh Abas yang telah dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara. Tetapi, Salleh Abas akhirnya menjadi Exco Kerajaan PAS Terengganu. Baru-baru ini kerajaan Paklah telah meminta maaf dan membayar balik segala pampasan yang patut diterimanya. TKT Mahathir melihat segala proses pemulihan itu dengan terkulat-kulat sahaja.

Orang putih kata TKT Mahathir “is a pathological liar”. Maknanya dia adalah seorang pembohong besar semulajadi. Membohong adalah satu perbuatan yang amat mudah dilakukannya. Itulah yang dilakukannya satu ketika dahulu dengan surat layang yang disebarkan merata negara untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman. Almarhum Tunku pernah memberitahu saya dalam pertemuan peribadi di Alor Star pada tahun 1970 bahawa negara ini akan jahanam “kalau Mahathir dapat menjadi Perdana Menteri.” Ternyata ramalan Tunku itu tidak lari daripada tajuknya.

Sepanjang beliau mencengkam kuasa, TKT Mahathir telah memperibadikan semua institusi kerajaan. Malahan dia cuba memanipulasi Majlis Raja-raja dengan meminta izin majlis itu mengharamkan perkataan ISLAM dalam pertubuhan parti politik. Mujur Majlis Raja-raja enggan akur dengan kehendaknya.

TKT Mahathir naik mencengkam kuasa gara-gara sistem politik di negara ini. Sebagai seorang Presiden parti UMNO dia naik secara automatis menjadi Perdana Menteri. Untuk menjadi seorang Presiden UMNO dia menunggu pilihan majoriti antara 2,000 ahli perwakilan yang datang berkumpul di PWTC. Dia menang tanpa bertanding kerana sistem tipu muslihat yang direncana semasa pencalonan di pihak bahagian lagi.

Untuk menjamin cengkaman kuasanya tetap di tangan dia telah memanipulasi sistem kehakiman dan pengadilan. Yang anehnya putar-belit kehakiman adalah mengikut acuan seorang peguam bernama Dato’ VK Lingam. Ini adalah seorang penyamun besar yang merupakan peguam kepada Tan Sri Vincent Tan. Dialah yang mengatur percutian ke luar negara Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin.

Saya pernah menulis agar kerajaan menggugurkan gelaran itu daripadanya kerana dia telah menipu dengan berkata di tahap awalan yang dia terjumpa Lingam secara terserempak di tempat menaiki pesawat ke New Zealand. Siasatan yang dibuat oleh pasukan risikan bebas bagi pihak Mendiang M.G.G. Pillai mendedahkan bahawa tiket yang dibelinya adalah sama siri dengan tiket yang dibeli oleh Lingam.

Kira-kira enam bulan yang lalu, nama Lingam kecoh lagi apabila pita rakaman video dia sedang berbual di telefon dengan seorang Ketua Hakim Negara mengenai nama-nama hakim yang perlu dinaikkan pangkat di Malaysia didedahkan kepada umum.

Dalam perbualan telefon yang dirakamkan itu, Lingam telah menyebut dengan jelas pembabitan tengku Adnan Mansur yang boleh mengatur temujanji antara Ketua Hakim Negara dengan Perdana Menteri. Pada mulanya Lingam tidak mengaku yang dia sedang bercakap dengan Ketua Hakim Negara ketika dirakam perbualan itu.

Apabila dilakukan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja, barulah sah identiti sebenarnya. Memang benar dia sedang berbual dengan Ketua Hakim Negara untuk mencadangkan siapa yang patut dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Namun Lingam berkata: “Orang dalam video itu memang seiras wajah saya tetapi bukan saya,” Walaupun suara orang yang menyebut ‘correct, correct, correct’ jelas menyerupai suaranya, Lingam masih mengelak dengan mengatakan “Suara macam saya…”. Jelas Lingam pandai bermuslihat kerana dia sudah lama belajar daripada sifunya TKT Mahathir.

Oleh kerana kerakusan, TKT Mahathir telah berbuat apa yang dia suka dengan wang perolehan Petronas. Petronas yang sepatutnya bernaung di bawah Parlimen telah dimilik-peribadikannya dan segala pembaziran telah dibuat untuk membina Menara Berkembar Petronas. Dia juga telah membina litar lumba Sepang dengan belanja lebih lima ratus juta Ringgit.

Saya pernah menentang pembaziran ini kerana tanah tapak Menara Berkembar itu dahulunya adalah milik kerajaan yang dijual kepada rakan karibnya Ananda Krishnan. Beberapa bulan kemudian Ananda Krishnan telah menjualkan semula tapak itu kepada kerajaan Malaysia dengan harga berlipat kali ganda, sekali gus mendapat faedah yang amat besar.

Orang yang rapat dengan Mahathir pernah memberitahu saya, tidak ada satu projek mega di Malaysia ini dapat dibina tanpa Mahathir menerima habuannya. Berapakah habuannya? Dua persen? Lima persen ataupun Sepuluh persen? Kawan saya berkata Mahathir tidak main dengan sepuluh persen. Khabarnya Mahathir ambil komisen dan peratusan saham dalam syarikat yang diberikan kontrak projek mega.

Kalau kita ambil kira masa yang begitu lama Mahathir menjadi Perdana Menteri tentu dia mampu mengumpulkan harta menjadi Melayu yang terkaya di dunia! Kawan saya kata tidak begitu. Mahathir adalah Melayu yang kedua terkaya di dunia. Yang paling kaya ialah Tun Daim Zainuddin kerana dia telah gunakan duit UMNO dan melaburkannya di luar negara. Mahathir dan Daim renggang persahabatan apabila Daim enggan membawa pulang duit UMNO di seberang laut. Ini bermakna kalau Daim mati esok ataupun lusa semua duit orang Melayu yang disimpan oleh UMNO akan lenyap begitu sahaja. .

(diolah dari sumber http://aim9093.blogspot.com)

10 PENYELEWENGAN BESAR PENDAKWAAN DALAM KES ANWAR 1 September, 2008

Posted by ahmadmum in Anwar Ibrahim.
Tags: , ,
add a comment

Penyiasatan dan pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi. Meskipun Anwar Ibrahim belum di dakwa secara rasmi di mahkamah, terdapat pelbagai kepincangan dalam siasatan dan dalam perjalanan kes ini. Berikut ialah 10 perkara misteri dan luar biasa yang timbul dalam kes Anwar.

1. Laporan Pengadu enggan diserahkan

Ini merupakan satu perkara yang luar biasa. Lazimnya, apabila seseorang yang dituduh dengan sesuatu kesalahan meminta laporan polis yang dibuat oleh pengadu, ianya akan dibekalkan dalam masa seminggu ke dua minggu oleh pihak polis. Tanpa laporan pengadu, orang yang tertuduh sukar membela diri kerana apa yang didakwa pun tentulah tidak jelas. Pengalaman penulis memohon laporan polis bagi membela anak guam membuatkan penulis hairan kerana penulis pernah beberapa kali mendapat laporan pengadu pada pagi yang sama penulis memohon. Kenyataan Hamid Albar bahawa laporan enggan diberi kerana pendakwaan belum dimulakan secara rasmi tidak masuk akal kerana masyarakat maklum Anwar telah ditahan oleh polis, keterangannya telah diambil dan beliau perlu membela diri dan reputasinya. Ini meyakinkan masyarakat bahawa laporan polis belum ada dan perbincangan sedang dibuat berhubung inti laporan tersebut untuk mendapatkan tarikh dakwaan yang paling sesuai.

2. Anwar ditangkap sebelum tempoh

Adalah sesuatu yang cukup memalukan apabila pihak polis memungkiri janji dan menangkap Anwar sebelum tempoh yang diberikan tamat. Tempoh diberi sehingga pukul 2 petang tetapi Anwar ditangkap sekitar pukul 1 petang. Mungkin polis terbawa-bawa sikap Pak Lah yang kerap membuat kenyataan palsu.

3. Anwar disabitkan bersalah sebelum dibicarakan

Apabila Pak lah diminta mengulas berhubung kes Anwar, Pak Lah dengan segera berkata bahawa memanglah penjenayah akan menafikan kesalahannya. Belum pun perbicaraan bermula, Anwar sudah disabitkan sebagai pesalah oleh Pak Lah. Pada masa yang sama, apabila Pak Lah diminta mengulas berhubung dakwaan ke atas najib dan Rosmah, Pak Lah dengan segera menyatakan bahawa Pak Lah berkeyakinan penuh bahawa Najib dan Rosmah tidak bersalah. Jika Mahathir dikaitkan dengan konspirasi perlantikan hakim, pak Lah selangkah ke hadapan dengan melantik dirinya sebagai hakim tidak rasmi.

4. DNA baru Anwar diminta oleh Pak Lah dan Khairi.

DNA Anwar sudah lama dimiliki oleh pihak polis berikutan siasatan kes lamanya. Paten DNA tidak akan berubah. Justeru DNA baru tidak diperlukan melainkan jika hendak digunakan sebagai bukti palsu yang hendak dicalit dibadan pengadu. Tindakan Khairi dan Pak Lah yang berulangkali menuntut Anwar memberi DNA barunya menimbulkan tanda tanya berhubung tujuan mereka. Apabila Anwar mendedahkan perkara ini di dalam muka depan Suara Keadilan, Pak LAh dan Khairi diam membisu. Kalau anak dara yang diam, ini bermakna anak dara tersebut setuju dengan pinangan. Justeru, diamnya Pak LAh dan Khairi seakan mengiyakan persepsi masyarakat bahawa inilah tujuannya.

5. Laporan Pusrawi

Perlu diakui bahawa laporan Pusrawi sebelum ini bukanlah laporan rasmi bagi kes Anwar. Meskipun begitu, fakta bahawa seorang doktor, meskipun bukan doktor pakar kes liwat, telah melihat lubang punggung Saiful dan tiada sebarang kesan koyakan atau apa-apa tanda diliwat adalah relevan. Meminjam istilah yang selalu digunakan di dalam kes-kes berkaitan Puspakom, pemeriksaan yang dibuat adalah pemeriksaan mata kasar. Meskipun begitu, ianya tetap relevan dan keterangan sudah cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah. Pejabat Peguam Negara selama ini tidak membuat pendakwaan melainkan yakin dengan tahap 90% bahawa tertuduh memang bersalah dan bukti-bukti yang ada benar-benar kuat..

6. Bukti alibi Anwar memadai

Kepincangan dalam kes ini semakin menjadi-jadi apabila pihak polis berkeras meminta DNA baru Anwar sedangkan bukti alibi Anwar tidak dikaji. Sepatutnya, polis menyerahkan laporan Saiful kepada Anwar supaya Anwar boleh membela diri dengan menjelaskan di mana Anwar berada pada tarikh yang didakwa Saiful berlaku liwat tersebut. Seterusnya, alibi Anwar perlu disiasat. Sebagai contoh, Antihusam (blogger UMNO) mendakwa punggungnya telah saya liwat pada pukul 11 malam , 20 Julai 2008 di Hotel Sunway. Saya akan memaklumkan bukti alibi saya pada waktu itu. Contohnya, saya menyatakan bahawa pada waktu tersebut, saya menghadiri ceramah Ustaz Hadi di markas Pas. Terdapat lebih 20 kawan saya yang boleh membuktikan kehadiran saya. Justeru, mustahil saya meliwat Antihusam. Apabila pihak polis selesai menyoal alibi-alibi saya dan berpuas hati bahawa saya mustahil meliwat Antihusam, siasatan patut ditamatkan. Begitulah juga dalam kes Anwar. Tindakan pihak polis yang beria-ia mahukan DNA baru Anwar kelihatan senada dengan Pak Lah dan Khairi.

7. Pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara

UMNO ke sana ke sini membuat kenyataan bahawa kes Anwar tidak akan diuruskan oleh Pejabat Peguam Negara kerana Peguam Negara sendiri sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa yang dibuat oleh Anwar. Pendakwaan, jika jadi, akan dibuat oleh Peguam Cara Negara. Masyarakat sedia maklum bahawa pendakwaan masih akan diteruskan oleh Pejabat Peguam Negara sekalipun diketuai oleh Peguam Cara Negara. Adalah pelik bin ajaib untuk mendakwa Pejabat Peguam Negara tidak akan dipengaruhi oleh Peguam Negara. Nama pun Pejabat Peguam Negara.

8. Laporan HKL

Timbul isu terbaru bahawa laporan rasmi HKL turut bocor dan laporan tersebut menyatakan bahawa Saiful memang tiada tanda-tanda diliwat dan mustahil Saiful diliwat. Ini menunjukkan Saiful tidak ikhlas membantu BN. Sekiranya Saiful komited membantu BN, Saiful sepatutnya pergi ke Lorong Haji Taib dan menyuruh pondan-pondan di situ meliwatnya beberapa kali agar kesan liwat ketara. Ini menunjukkan perancangan lemah BN dan ketidak ikhlasan Saiful dalam membantu BN.

9. Isu motif dan tujuan

Kes ini menimbulkan keraguan yang cukup banyak apabila kepimpinan UMNO seperti Najib mengakui telah berjumpa dengan Saiful sebelum saiful membuat laporan polis. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Anwar adalah musuh politik UMNO. Justeru, polis sepatutnya menyiasat kebarangkalian berlakunya konspirasi dikalangan UMNO untuk menganiayai Anwar seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Sebelum ini, mahkamah telahpun membebaskan Anwar dari tuduhan liwat yang dijaja oleh UMNO berdasarkan sekeping surat layang.

10. Terlampau banyak percanggahan fakta kes oleh BN

Pada mulanya, Najib mendakwa tidak pernah berjumpa Saiful. Kemudian, Najib mendakwa pula bahawa najib pernah berjumpa Saiful 2 bulan dulu di pejabat untuk membincangkan biasiswa. Kemudian, Najib berkata pula bahawa Najib telah berjumpa Saiful 2 hari sebelum laporan polis dibuat untuk membincangkan biasiswa. Tiba-tiba, Najib mendakwa pula Najib telah memegang tangan Saiful yang kesejukan 2 hari sebelum laporan polis dibuat di rumah Najib sendiri apabila Saiful yang kononnya ketakutan datang mengadu diliwat.

Saiful pula mulanya mendakwa diliwat pada 26 haribulan di sebuah kondo di Malaysia . Apabila Anwar kelihatan mempunyai bukti alibi yang kukuh, saiful menjadi terdesak. Kemudian, Saiful menyatakan pula bahawa dia telah 3 kali menemani rombongan Anwar ke luar negara dengan memberi “hint” bahawa dia kononnya telah diliwat-liwat di luar negara beberapa kali. Ini menimbulkan pelbagai tanda Tanya. Mengapa seorang lelaki yang kelihatan tinggi dan sihat seperti Saiful membiarkan dirinya diliwat-liwat beberapa kali dan terus menemani Anwar ke mana saja. Sebagai contoh, jika saya diliwat oleh sesiapa, saya akan trauma dan akan segera menjauhkan diri dari orang tersebut.

Selain itu, Saiful juga sentiasa kelihatan ceria. Demi Allah, selama saya bekerja sebagai peguam, belum pernah saya menemui mangsa rogol atau mangsa liwat yang begitu ceria. Mangsa kes serangan seksual akan trauma, malu dengan masyarakat, rasa rendah diri dan biasanya mengalami kemurungan.

Saiful juga seorang lelaki. Tidak semudah itu hendak menembusi lubang punggung seorang lelaki. Asalkan saiful mengeraskan punggungnya, mustahil Anwar dapat meliwatnya. Sekiranya Saiful benar-benar hendak diliwat, dua atau tiga orang lelaki gagah diperlukan untuk memegang Saiful dan lubang punggung saiful perlu disapu minyak terlebih dahulu sebelum diliwat. Sekiranya ini yang berlaku, mustahil Saiful akan terus mengikut Anwar ke sana sini sehinggalah menemani rombongan Anwar ke luar negara sebanyak 3 kali.

Sebagai kesimpulan, kes Anwar Ibrahim ini tidak layak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan. Sekiranya saya ialah hakim bagi kes tersebut, saya akan melempar fail pendakwaan ke lantai kerana terlalu banyak kepincangan.

Artikel asal

Konspirasi Anwar 98: Ustaz Taib Azamudin dan Mat Sabu 25 August, 2008

Posted by ahmadmum in Anwar Ibrahim.
Tags: , ,
1 comment so far

OK, aku terangkan……

firstly, berkenaan USTAZ TAIB AZIMUDDIN….. semasa USTAZ nih jadi IMAM MASJID NEGARA, tiba-tiba POLIS membawa AZIZAN untuk mengadu kepada USTAZ nih dan diambil video. semasa itu, lebih daripada tiga orang berada dalam bilik USTAZ, yang nampak dalam video, seorang POLIS, AZIZAN dan USTAZ TAIB. oklah, sebagai seorang IMAM dan PAKAR DALAM ILMU AGAMA, USTAZ TAIB ini hanya memberitahu, perkara macam itu tidak mustahil dan dia tidak kata DATUK SERI ANWAR IBRAHIM lakukan. dan selepas itu, lihatlah MAHKAMAH RIMBA UMNO dan penulis buku 50 DALIL, KHALID JAFRI telah dikenakan hukuman kerana mengadakan konspirasi.

Secondly, berkenaan dengan MAT SABU pula ( rujuk sini ), anda kena faham, KONSPIRASI UMNO pada tahun 1998 telah menyebabkan ada yang percaya dan semasa itu MAT SABU percaya dan diprovok oleh MEDIA2 UMNO untuk ditemuramah, namun setelah diteliti dan diketahui oleh MAT SABU, MAT SABU baru tahu isu sebenar dan ianya bukan silap ANWAR IBRAHIM. dan MAT SABU telah memohon maaf kepada ANWAR IBRAHIM dan sanggup menjadikan badannya sebagai tempat untuk ANWAR IBRAHIM membuat latihan fisioterapi semasa di UK sebagai tanda maaf. jadi, ianya tidak perlu dikatakan lagi.

KESIMPULANNYA…..

“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan..” al-Hujurat (49):6.

NASIHAT : JANGANLAH PERCAYA DENGAN FITNAH UMNO lagi…….. UMNO nih dah permain hukum AL_QUR’AN…… aku pun rasa macam tak percaya dah ORANG ISLAM KAT MALAYSIA NIH DIKALANGAN PEMIMPIN ATASAN BERPERANGAI MACAM SETAN dan memang LANUN……..

syahamin TKO.

*************************************************

Penjelasan YB Taib Azamudin berkaitan naskah fitnah UMNO

YB Taib Azamuddin, bekas Imam Besar Masjid Negara memberi penjelasan terhadap naskah fitnah terbaru mengaitkan beliau dengan tunduhan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pilihanraya Kecil Permatang Pauh.

Menurut beliau lagi, penjelasan berkenaannya pernah dibuat sebelum ini dalam tahun 2002 dahulu. Sebaliknya UMNO masih lagi menggunakan fitnah yang tak pernah wujud mahupun didakwa berkenaannya.

Catitan Tentang Hukum Qazaf Dalam Tulisan Ulama Jawi 17 August, 2008

Posted by ahmadmum in Anwar Ibrahim.
Tags: , ,
add a comment

Sunday, 17 August 2008 02:29

Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:

“(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”

Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:

“Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut’ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]

2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat:

Dan wajib atas melontar[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr [5] dan muhsana*

dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*

dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*

(Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .

3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:

(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi’ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu’tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:

(Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)

4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:

(dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)

5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:

Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)

6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:

(Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]

Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:

(Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?

Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:

Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455

8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:

(Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?

(Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)

9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:

Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]

Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:

(Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada

(Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)

10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:

(Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu’tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311

!1- Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:

Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had

Khulasah

Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.

Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.

Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh

Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi‘ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.

Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..

Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.


[1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.

[2] Anal-sex yang didak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan

[3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.

[4] Melontar maksudnya menuduh

[5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya

[6] Apabila sipenuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.

[7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan

[8] Cetakan tahun 1345H

[9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H

[10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.

[11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.